Monday, February 15, 2010

Guru baru wajib mengajar di pedalaman

14 Februari 2010
BALIK PULAU – Tiga tahun mengajar di sekolah pedalaman adalah antara syarat baru yang akan diwajibkan kepada bakal- bakal guru.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, syarat-syarat itu membabitkan guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) kelolaan kementerian itu serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Bagaimanapun jelasnya, perkara itu masih pada peringkat cadangan tetapi menjadi salah satu strategi kementerian dalam usaha melahirkan barisan guru yang terlatih termasuk dari segi pengajaran dan psikologi.
“Pendedahan ini amat baik dan memberi pengalaman berguna kepada mereka. Cara ini juga dapat memastikan hanya calon yang benar-benar bersedia menyandang jawatan ini.
“Walaupun syarat ini telah diguna pakai tetapi objektifnya seperti yang dihasratkan kementerian kurang berjaya kerana kerap kali ada campur tangan pihak luar untuk guru baru ini bertukar,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau di sini semalam.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/
Ulasan:
Satu perkembangan yang sihat buat bakal-bakal guru kerana pengalaman mengajar dikawasan pedalaman mampu menguji tahap kemampuan dan psikologi para guru. Seharusnya semua guru didedahkan dengan cabaran sebegini supaya bakal pendidik masa hadapan mempunyai jati diri yang kuat dan mampu menyahut segala cabaran. Memandangkan dunia pendidikan hari ini sangat mencabar kerana para pendidik hari ini terpaksa berhadapan dengan karenah pelajar yang semakin hari semakin teruk. Semua guru wajib melengkapkan diri dengan segala ilmu sama ada ilmu dunia atau ilmu akhirat sebagai bekalan ketika berhadapan dengan konflik semasa berada di dunia persekolahan kelak. Masa depan pelajar terletak pada tangan guru. Jadilah guru yang hebat dan fleksibel dalam sebarang perkara. Yakin boleh.....

0 comments:

Post a Comment

  ©Template by Dicas Blogger.