Saturday, February 06, 2010

Waktu Solat & Spektrum Warna

Sains sebenarnya telah lama menemui perkaitan antara waktu solat dengan peralihan tenaga alam. Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang arif dalam bidang fotografi.

SUBUH – Alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru mudah tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakkan ruang dan masa) – dalam erti kata lain juga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat subuhnya sebenarnya sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

ZUHUR – Warna alam pada waktu ini ialah warna kuning. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.

ASAR - Alam berada dalam spectrum warna oren pada waktu ini. Warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

MAGHRIB – Alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang tua-tua agar tidak berada diluar rumah. Ini kerana spektrum warna ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dahulu) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

ISYAK – Alam berubah ke warna indigo dan seterusnya memasuki fasa kegelapan. Waktu isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan system kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan system tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu dimana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitary, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah dan meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke system tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah dikurniakan syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t ini mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisplin dalam menghadiri kelas taichinya.



0 comments:

Post a Comment

  ©Template by Dicas Blogger.